NATIONAL
25,000 veteran ATM punya kerjaya kedua - Adly

Adly ketika ditemu bual pemberita pada Sesi Libat Urus Sempena Pengiktirafan Kohort Kedua Program Veteran MyWira di Micron Memory pada Selasa. - Foto BERNAMA
BATU KAWAN: Sebanyak 25,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai kerjaya kedua selepas menamatkan Latihan Peralihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) demi masa depan lebih baik.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata 70 peratus daripada mereka terbabit dalam bidang keusahawanan, manakala bakinya pelbagai bidang lain.
"Kita (ATM) fikir keusahawanan bukan satu bidang yang mudah dan ada cabarannya, tetapi mereka (veteran) ada modal kerana selepas menamatkan perkhidmatan mendapat sedikit ganjaran kewangan daripada kerajaan.
"Sebab itu kita bagi mereka pilihan, ini adalah pilihan yang sebahagian kita beri iaitu terbabit pekerjaan dalam industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), setiap tahun ada lebih 5,000 tentera bersara dan kita bantu carikan pekerjaan kedua," katanya selepas sesi libat urus peserta Program Veteran MyWira di Micron Memory Malaysia di sini pada Selasa.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Thomas Mathew dan Naib Presiden Micron Memory, Ramu Iyer.
Program Veteran MyWIRA dilancarkan pada Januari 2024 itu adalah inisiatif bersama TalentCorp iaitu agensi strategik dan badan pemikir di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan PERHEBAT bagi membantu veteran tentera mendapatkan pekerjaan kedua selepas bersara.
Adly berkata, kerajaan komited memastikan veteran ATM mempunyai kerjaya kedua yang berkualiti dan pihaknya menyokong inisiatif Program Veteran MyWIRA itu yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.
"Cabaran kepada veteran ATM cukup besar kerana kebanyakannya masih muda iaitu pada usia 40 tahun mereka hilang pekerjaan, jika berpencen pun mereka hilang separuh daripada pendapatan sedangkan dari segi sosial, mereka ada tanggungan anak dan keluarga, selain perumahan dan aspek kesihatan, " katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan turut menjalin kerjasama dengan kementerian lain supaya dapat menyerap veteran tentera bekerja dalam beberapa segmen kerajaan menerusi bidang kepakaran tertentu, namun ia agak terbatas.
"Kita perlu bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk serapkan anggota ATM. Contohnya kita ambil veteran (berkhidmat) dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana sebahagian mereka menjadi jurulatih.
"Sekarang kita melihat peluang dalam industri kerana perkhidmatan awam agak terhad. Di industri terutama semikonduktor dan E&E lebih luas, sebab itu melalui TalentCorp, kita buka ruang ini dan dengan latihan serta kepakaran, veteran ATM sudah bersedia memberi sumbangan kepada bidang perindustrian," katanya.
Secara keseluruhannya, program di Micron Memory Malaysia menyediakan latihan enam bulan dalam bidang teknikal dan penyeliaan menerusi dua kohort membabitkan 133 calon sudah ditemu duga.
– BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami