KOTA KINABALU: Sebanyak 25 daerah di Sabah kini dikategorikan sebagai zon merah, manakala baki dua daerah lagi merupakan zon jingga.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata sebanyak 1,291 kes COVID-19 baharu telah dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan kes kumulatif sebanyak 91,201 kes.

"Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital adalah sebanyak 770 orang menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh sebanyak 80,597 orang.

"Seramai 4,402 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,048 orang di hospital, 3,326 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 20 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai khabar angin yang tular di media sosial mengenai pengunjung dengan kes positif COVID-19 datang melawat Sabah International Convention Centre (SICC), beliau menegaskan bahawa ia bukan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ingin ditegaskan arahan yang tular ini bukanlah bersumber daripada pihak KKM melainkan daripada golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Orang awam tidak perlu risau untuk mengunjungi SICC kerana semua ruangan dalam SICC adalah sentiasa disanitasi.

"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri adalah sangat ketat di kalangan orang awam dan juga petugas SICC sendiri," katanya lagi menerusi satu kenyataan media, pada Jumaat.

Sementara itu, sebanyak lima kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu tiga kes di Kota Kinabalu manakala Tuaran dan Sandakan masing-masing mencatatkan satu kes.