SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 25 peratus pelajar menolak tawaran kemasukan ke MRSM setiap tahun, dan kekosongan tersebut akan diisi oleh calon-calon simpanan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu berdasarkan rekod yang dikenal pasti sebelum ini.

"Berasaskan rekod tahun-tahun sebelum ini, kebiasaannya 25 hingga 30 peratus pelajar yang ditawarkan ke MRSM, menolak tawaran tersebut atas pelbagai sebab.

"Kekosongan yang ditinggalkan inilah yang akan diisi oleh calon-calon simpanan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan maklum balas yang diterima berhubung status semakan tawaran ke MRSM.

Asyraf berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berkenaan status makluman 'Sekiranya tidak menerima makluman tawaran melalui SMS atau semakan dalam sistem sebelum 20 Mei 2024, permohonan adalah tidak berjaya'.


Jelasnya, penerima status tersebut merupakan calon simpanan, dan kemasukan mereka bergantung kepada kekosongan di mana-mana MRSM kelak.

"Sesiapa yang dapat status makluman seperti yang tertera, ini bermakna anak-anak pelajar lulus UKKM (Ujian Kecenderungan Kemasukan) tetapi dimasukkan dalam senarai menunggu," katanya.

"InsyaAllah, jika ada rezeki masih ada peluang untuk ditempatkan di MRSM-MRSM yang masih ada kekosongan yang ditinggalkan," katanya. - Sinar Harian