KUALA LUMPUR: Sejumlah 250,248 pelanggan Unifi Mobile, yang terdiri daripada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), didapati terjejas dalam pelanggaran data yang melibatkan maklumat perhubungan mereka, kata Telekom Malaysia (TM).

Jenis data yang terlibat membabitkan nama pelanggan, nombor telefon dan e-mel, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini. Ia tidak membabitkan maklumat lain.

"TM mengesahkan bahawa pelanggaran itu telah dibendung dan langkah telah diambil untuk meminimumkan potensi kesan kepada 250,248 pelanggan ini. Pelanggan tertentu yang terjejas telah dimaklumkan. Pelanggan yang tidak menerima sebarang pemberitahuan adalah mereka yang tidak terjejas," katanya.

TM juga telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan, iaitu Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Syarikat telekomunikasi itu berkata ia telah dimaklumkan mengenai pelanggaran data pada 28 Dis melibatkan jumlah yang terhad untuk maklumat pelanggan Unifi Mobile.

Walaupun langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan untuk mengasingkan risiko dan melindungi pelanggannya, TM berkata bahawa pelanggan tidak mengalami sebarang gangguan perkhidmatan dalam kejadian itu.

"TM sedang memantau dengan teliti dan sedang menjalankan penilaian tambahan. Kami menasihati pelanggan supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila menerima komunikasi daripada pihak yang tidak dikenali, serta memastikan maklumat dalam talian mereka pada setiap masa," katanya.

TM juga menyatakan bahawa privasi dan keselamatan pelanggannya tetap menjadi keutamaan tertinggi syarikat dan pihaknya mengambil serius tentang perkara tersebut.

"Kami akan terus mengukuhkan dan memastikan rangka kerja keselamatan data, dasar, sistem dan proses kami sentiasa pada penanda aras piawaian Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) Bank Negara Malaysia dan ISO27001, serta piawaian global lain untuk mengelakkan kejadian sedemikian," tambahnya.

-- BERNAMA