SIBU: Sebanyak 26 kes Macau Scam melibatkan nilai kerugian melebihi RM2.7 juta dilaporkan di daerah Sibu bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 berbanding 38 kes dengan nilai kerugian melebihi RM2.5 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, daripada 64 kes tersebut, sebanyak 41 telah berjaya dituduh di mahkamah, manakala 23 kes lagi masih dalam siasatan.

Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu telah mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) pertuduhan yang telah ditetapkan oleh jabatan dan merupakan pencapaian yang terbaik dan tertinggi di Sarawak.

"Setiap laporan polis yang diterima akan disiasat dengan terperinci mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.

Collin berkata penyiasatan kes jenayah komersial lazimnya akan melibatkan akaun bank, nombor telefon dan akaun media sosial.

Menurutnya, polis perlu mematuhi prosedur-prosedur di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APIK) 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan (AIKP) 2002 bagi penyiasatan melibatkan akaun bank.

"Oleh itu, semua pihak haruslah memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan tugas dengan telus mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya dan menambah usaha untuk memberi kesedaran awam tentang modus operandi terkini jenayah penipuan turut diadakan, selain aktiviti rondaan oleh skuad Amanita Polis Sibu serta hebahan melalui media massa dan media sosial.

Orang ramai diminta tidak mudah cemas apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan dan segera tamatkan panggilan telefon tersebut.

Mereka boleh menyemak dengan pihak berwajib melalui nombor telefon yang sah atau hadir sendiri ke jabatan atau institusi berkenaan untuk mendapatkan pengesahan ataupun membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi Check Scammer CCID atau laman http://semakmule.rmp.gov.my.

Maklumat juga boleh disalurkan menerusi CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/03-26101599 atau CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp/SMS).

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing membangkitkan isu kelewatan polis dalam menyiasat kes penipuan Macau ini dan mendakwa beliau telah menerima banyak aduan daripada orang ramai berkaitan perkara tersebut semasa kempen Pilihan Raya Negeri ke-12 Disember lepas.

-- BERNAMA