Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menahan 27 gelandangan dalam tiga serbuan yang dilakukan di George Town di Pulau Pinang, awal pagi Jumaat.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki, enam wanita termasuk seorang warga Indonesia.

Pengarah JKM Pulau Pinang, Said Sidup berkata, operasi di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Kapitan Keling dan Lebuh Leith itu dilakukan bagi membantu golongan pengemis dan kutu rayau yang berada di sekitar bandaraya itu.

Enam puluh satu pegawai dan anggota dari pelbagai agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Relawan Malaysia (RELA).

"Semasa operasi dijalankan kita terserempak dengan pengemis mungkin mengalami masalah mental.

"jadi kita tidak berani untuk buat tangkapan dan selamatkan dia kerana dia membawa pisau dan berada dalam keadaan telanjang.

"Kita buat keputusan untuk tidak cuba menahan individu terbabit kerana dibimbangi perkara yang tidak diingini berlaku" ujarnya.

Individu-individu yang ditahan akan menjalani ujian saringan sebelum ditempatkan di Anjung Indah dan Desa Bina Diri selama satu bulan dan kemudiannya dihantar kepada keluarga masing-masing.

Pengemis bukan warganegara Malaysia akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.