KOTA KINABALU: Seramai 27 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di Pitas disahkan keracunan metanol setakat 10 pagi semalam dalam kejadian pada 6 Jun lepas, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam) Dr Asits Sanna.

Beliau berkata seramai 25 pelajar telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala dua lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) masing-masing di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) dan Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2).

Bagaimanapun, katanya pelajar yang dirawat di ICU HQE 1 telah meninggal dunia pada Rabu lepas disebabkan oleh kegagalan pelbagai organ akibat keracunan metanol.

"Keputusan sampel proksi telah disahkan mengandungi 89 peratus kandungan metanol oleh Jabatan Kimia Malaysia pada 12 Jun.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin menegaskan dan menasihati orang ramai tentang bahayanya mengambil minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.

"Sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas pengambilan minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 9 Jun lepas, Dr Asits dilaporkan berkata 20 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun didapati terlibat dalam kes keracunan metanol, dipercayai berpunca akibat meminum campuran air berkarbonat dan "spirit" pada 6 Jun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu Supt Zairolnizal Ishak ketika dihubungi berkata pelajar yang dirawat di ICU HQE 2 telah meninggal dunia semalam, menjadikan dua mangsa meninggal dunia dalam kejadian itu.

Beliau berkata kematian pelajar kedua itu disebabkan severe brain injury (cereal toxicity) secondary to acute methanol poisoning, dan mayat kedua-dua pelajar tingkatan lima berusia 17 tahun itu tidak perlu dibedah siasat kerana sebab kematian telah diperoleh.

"Kedua-dua kes tersebut dikasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

-- BERNAMA