27 syarikat tempatan diiktiraf peneraju Industri 4.0 menerusi MSMA 2025

Tengku Zafrul (tengah) bergambar bersama penerima MSMA 2025, anugerah yang mengiktiraf syarikat tempatan peneraju Industri 4.0. - Foto MIDF
KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 pengeluar dan penyedia teknologi tempatan diiktiraf sebagai peneraju transformasi Industri 4.0 menerusi Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025 yang berlangsung di Menara MATRADE, Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- 27 pengeluar dan penyedia teknologi tempatan diiktiraf sebagai peneraju transformasi Industri 4.0 melalui Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur.
- MSMA merupakan platform penting dalam mempercepat transformasi perindustrian negara selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), memberi inspirasi dalam inovasi dan pendigitalan.
- Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada syarikat yang berjaya mengadaptasi teknologi pintar dan inovatif untuk menembusi pasaran baharu serta mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global.
“MSMA ialah platform penting yang bukan sahaja mengiktiraf, malah memberi inspirasi kepada juara tempatan yang memacu inovasi dan pendigitalan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada MIDF, Bizsphere dan Smart4WRD atas komitmen teguh mereka dalam memperkukuh ekosistem pembuatan pintar negara,” katanya.
Tengku Zafrul turut menekankan bahawa inisiatif seperti MSMA memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah, demi kesejahteraan rakyat dan kemampanan perniagaan.
MSMA 2025 merupakan hasil kerjasama awam-swasta antara Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Bizsphere Sdn Bhd, dengan sokongan Smart4WRD dan MITI.
Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada syarikat yang berjaya mengadaptasi teknologi pintar dan amalan inovatif untuk menembusi pasaran baharu serta mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global.
Tahun ini, sebanyak 36 pencalonan diterima merangkumi empat kategori utama: Smart SME, Smart Mid-Tier, Technology Excellence dan People Excellence.
Daripada jumlah itu, 27 syarikat dipilih sebagai pemenang berdasarkan pencapaian dalam transformasi digital, kecekapan operasi dan inovasi mampan.
Penyertaan aktif penyedia teknologi tempatan turut menyerlahkan daya saing Malaysia dalam arena global, dengan banyak syarikat menawarkan penyelesaian yang setanding atau melebihi piawaian antarabangsa.
Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, menegaskan bahawa MSMA bukan sekadar pengiktirafan simbolik, sebaliknya sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh ekosistem perindustrian negara.
“Melalui MSMA, kita bukan sahaja meraikan pencapaian, tetapi turut membina momentum untuk penambahbaikan berterusan dalam sektor pembuatan.
Dengan memperkasakan pengeluar tempatan untuk berinovasi dan mengadaptasi teknologi pintar, kita menyokong sasaran nasional untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama awam-swasta dalam memupuk perkongsian ilmu, mempromosikan amalan pembuatan pintar dan mempercepat pengadaptasian teknologi merentas pelbagai industri.
MSMA dijangka terus berkembang sebagai platform utama yang menyatukan kerajaan, institusi kewangan pembangunan, pemain industri dan penyedia teknologi—seiring usaha Malaysia untuk muncul sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah di rantau Asia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



