KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan menahan 274 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM49,087.80.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan dilakukan dalam Operasi Tapis Khas Se-Malaysia yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan selama tiga hari bermula Isnin lalu sehingga Jumaat.

Katanya, operasi melibatkan kekuatan 159 pegawai dan anggota.

“Seramai 274 ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun (AR) 1952.

“Enam daripada mereka ditahan kerana dipercayai mengedar, 112 lagi memiliki dadah dan racun, menagih dadah (102), kesalahan dadah berulang (24) dan waran tangkap (30),” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua yang ditangkap berumur antara 18 hingga 61 tahun yang terdiri daripada 217 lelaki manakala tiga perempuan.

“Pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM49,087.80.

“Heroin sebanyak 6.44 gram (g), ganja (14.43g), pil kuda (463.2g), pil psikotropik (0.3g), daun ketum (3 kilogram), air ketum (132.45 liter) dan cecair kodien (0.62 liter),” katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, jumlah dadah yang dirampas tersebut dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 4,877 penagih dadah.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita harta iaitu kenderaan dan wang tunai berjumlah RM 50,511.

“Dalam operasi ini, sejumlah 155 lokasi pemeriksaan dan serbuan dijalankan melibatkan ‘sarang’ dadah antaranya di kebun getah dan kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata, PDRM Kelantan khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri itu.

"Masyarakat diharap akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling melalui hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya. - Sinar Harian