KUALA LUMPUR: Sepanjang 39,895 kilometer (km) daripada 135,975 km atau 29.3 peratus paip lama jenis simen asbestos di Semenanjung Malaysia dan Labuan telah melepasi jangka hayat operasi reka bentuk.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata paip lama tersebut telah dipasang antara 30 hingga 50 tahun lepas dan merupakan antara punca kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi.

"Secara umumnya, kadar NRW yang tinggi berpunca daripada kebocoran paip penghubung dan paip lama dalam sistem agihan terutamanya paip jenis simen asbestos. Paip sistem agihan di Semenanjung Malaysia dan Labuan adalah daripada jenis berkenaan.

"Kadar NRW 37.2 peratus pada 2022 menyebabkan pembaziran air terawat sebanyak 7,084 juta liter sehari, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2 billion setahun kepada operator air," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanyakan apakah komposisi yang menyebabkan isu NRW berlaku sama ada disebabkan oleh paip bocor atau kecurian air oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Huang berkata kerajaan Persekutuan komited membantu operator bekalan air negeri mengurangkan NRW secara holistik dan berterusan, antaranya menerusi pelaksanaan Program Pengurangan NRW Kebangsaan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan disambung di bawah RMK12.

Huang yang menjawab soalan asal Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai langkah kerajaan mengurangkan kadar NRW tinggi di beberapa negeri berkata peruntukan RM1.9 bilion disediakan bagi melaksanakan program tersebut melalui dua pendekatan.

Beliau berkata pendekatan pertama adalah peruntukan geran berjumlah RM535.4 juta untuk menyediakan infrastruktur asas bagi membolehkan pengukuran NRW secara tepat melibatkan negeri dengan kadar NRW 40 peratus ke atas iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Pendekatan kedua pula dilaksanakan secara pemberian insentif melalui geran sepadan dengan peruntukan RM1.37 bilion melibatkan negeri dengan kadar NRW di bawah 40 peratus iaitu Terengganu, Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Sekiranya sasaran NRW yang ditetapkan dapat dicapai, kerajaan Persekutuan akan membiayai 50 atau 75 peratus daripada perbelanjaan tahunan bagi kerja-kerja yang dilaksanakan untuk menurunkan kadar NRW tersebut," katanya.

-- BERNAMA