IPOH: Polis Perak berjaya merampas pelbagai jenis dadah lebih 33 kilogram, bernilai hampir RM2 juta dalam lima serbuan berasingan di Teluk Intan dan Rungkup pada Sabtu dan Ahad.

Daripada jumlah itu, 29 kilogram dadah adalah jenis syabu bernilai RM1.74 juta dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Indonesia.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, polis turut menahan lapan orang, termasuk sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga Indonesia.

Lelaki Indonesia berumur 56 tahun itu diberkas dalam serbuan di tepi jalan di Rungkup, Bagan Datuk, kira-kira jam 12.55 pagi Ahad.

"Hasil pemeriksaan yang kita jalankan ke atas suspek ini, kita telah menjumpai dua beg guni disyaki berisi dadah jenis syabu anggaran beratnya 29 kilogram dan nilai rampasan dadah tersebut adalah sebanyak RM1.74 juta.

"Hasil daripada siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ini kes pertama yang kita jumpa. Dadah ini adalah untuk tujuan dihantar ke Indonesia daripada siasatan yang dijalankan. Maka ini adalah modus operandi pertama yang kita jumpa di negeri Perak ini iaitu dadah-dadah yang dibeli oleh suspek ini adalah untuk dieksport, hantar ke negara jiran Indonesia melalui jalan laut," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Isnin.

Menurutnya, ujian saringan air kencing menunjukkan suspek negatif dadah dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Suspek direman seminggu sehingga 2 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Changkat Jong, kira-kira jam 3.35 petang Sabtu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 28 tahun.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menjumpai dadah jenis heroin dan syabu seberat 4.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM150,000.

Pasangan itu direman enam hari sehingga 1 Oktober dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mior Farid Al Athrash berkata, susulan daripada itu, polis membuat tiga lagi serbuan dan menahan lima lelaki berumur antara 18 hingga 32 tahun di samping merampas dadah jenis syabu dan ganja seberat 7.18 gram.

Kesemua mereka direman selama empat hari sehingga 29 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.