KUALA LUMPUR: Sebanyak 3.35 peratus daripada 76,381 petugas kesihatan daripada pelbagai skim perkhidmatan dikesan mengalami gejala tekanan, keresahan serta kemurungan pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata ia direkodkan selepas  pegawai yang terlibat menjalani ujian saringan  kesihatan mental di bawah Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) WOW.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum bahawa pekerja yang bertugas dalam tempoh yang panjang boleh mempengaruhi masalah kesihatan mental mereka.

"Masalah kesihatan mental boleh berpunca daripada pelbagai faktor psikologi termasuk kegagalan mencapai keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.

"Sehubungan itu, KKM telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menambah baik budaya kerja perkhidmatan kesihatan pada Mei 2022.

"Skop dan terma ini merangkumi penelitian terhadap aspek kerja serta pengurusan sumber manusia kesihatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih profesional dan meneliti waktu bekerja seseorang pekerja kesihatan," katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sementara itu, Zaliha menambah seramai 3,386 pegawai perubatan kerajaan lantikan kontrak telah meletak jawatan bagi tempoh 2017 hingga 2022.

Antara sebab peletakan jawatan tersebut ialah memilih untuk berkhidmat dengan sektor swasta; membuka klinik sendiri; berhijrah ke luar negara serta masalah kesihatan seperti tekanan mental.

"Seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak telah meletak jawatan iaitu purata 1.91 peratus setahun.

"Perincian peletakan jawatan adalah seramai 110 atau 1.8 peratus daripada 6,120 orang pada 2017; 168 orang atau 1.52 peratus daripada 11,044 orang pada 2018; dan 475 daripada 17,183 orang pada 2019.

"Selain itu, seramai 511 daripada 22,296 orang pada 2020; 768 iaitu 2.92 peratus daripada 26,303 orang pada 2021 dan 1,354 iaitu 4.58 peratus daripada 29,548 orang pada 2022," katanya.

Berhubung isu pertukaran dukalara pula, Zaliha berkata sebanyak 1,014 permohonan diterima pada tahun lalu dengan 673 permohonan telah diluluskan.

Katanya, KKM berusaha meneliti permohonan pertukaran pegawai terlibat dan kekerapan proses pertukaran pegawai kesihatan adalah empat kali setahun.