KUALA LUMPUR: Baru dua hari merekodkan kes positif COVID-19 baharu di bawah angka 3,000, negara kembali mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 3,545 kes baharu pada Rabu.

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan (KKM), kes baharu tersebut melibatkan satu sahaja kes import dengan yang lainnya membabitkan penularan tempatan dan membawa angka keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia kini 291,774.

Negeri Sembilan menjadi negeri tertinggi dengan 1,392 kes yang disahkan, diikuti dengan Selangor (581 kes), Kuala Lumpur (381 kes), Sarawak (353 kes) dan Johor (318 kes).

Dalam pada itu, kes sembuh baharu dicatatkan lebih rendah berbanding kes jangkitan baharu iaitu sebanyak 3,331 dan menjadikan jumlah kes sembuh kini 260,009 (89.11 peratus daripada keseluruhan kes).

Jumlah kes aktif pula sebanyak 30,677 setakat ini yang mana 189 berada di dalam unit rawatan rapi, termasuk 88 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

KKM turut memaklumkan 12 lagi mangsa meninggal dunia akibat COVID-19 sekali gus mencatatkan jumlah kematian akibat virus meningkat kepada 1,088 kes.