3 individu dibebaskan susulan siasatan laporan fitnah Sarawak Report
Astro Awani
Ogos 1, 2015 17:08 MYT
Ogos 1, 2015 17:08 MYT
Tiga individu yang ditahan pada awal pagi Sabtu bagi membantu siasatan polis susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dibebaskan pada tengah malam hari yang sama.
Menurut Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), ACP Datin Asmawati Ahmad, ketiga-tiga sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu tiga individu yang ditahan ialah Bekas Ahli Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Datuk Rashpal Singh; Ahli Sekretariat Kewangan dan Pentadbiran AMLA (Pasukan Petugas Khas), Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur dan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Sazilee Abdul Khairi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, polis sudah merakam percakapan ketiga-tiga mereka berhubung laporan berbaur fitnah yang dibuat oleh Clare.
Siasatan polis turut menjurus kepada isu kebocoran maklumat rasmi kerajaan yang disalahgunakan oleh pihak tertentu.
Sementara itu, beberapa pegawai dari Bank Negara dan bank komersial akan turut dipanggil bagi membantu siasatan polis.
BACA: Sorotan isu 1MDB