Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah melakukan pemeriksaan ke atas 52 individu berikutan kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijangkiti difteria Khamis lalu.

Pemeriksaan terhadap kesemua individu itu dilakukan terhadap mereka yang berhampiran atau mereka di sekeliling kanak-kanak terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, daripada 52 orang yang diperiksa, lima orang kanak-kanak didapati positif difteria dan seorang daripadanya merupakan kakak pada kanak-kanak terlibat, berusia 4 tahun.

Kesemua kanak-kanak tersebut dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Sabtu untuk pengasingan dan rawatan lanjut.

Kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, tiga daripadanya dijangka dibenarkan pulang pada hari esok (Isnin) sekiranya tiada simptom serius.

Selain itu, tindakan segera telah diambil bagi membendung penularan jangkitan itu termasuk pencarian kes dan kontak secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi, rawatan antibiotik dan pendidikan kesihatan kepada keluarga dan komuniti terlibat.



“Bermula Oktober 2018 sehingga 22 Februari 2019, Johor telah melaporkan empat kes difteria iaitu tiga kanak-kanak (berusia) 14 bulan, 10 tahun dan 2 tahun, dan seorang dewasa.

“Dua kematian dilaporkan, kedua-dua berusia 14 bulan dan 2 tahun. Ketiga-tiga kes kanak-kanak ini tidak menerima imunisasi.

“Difteria merupakan penyakit berjangkit disebabkan oleh cortnebacterium diphteriae yang disebarkan melalui udara.

“Penyakit ini mempunyai gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak. Bengkak tonsil dan berlaku kemungkinan bakterimia dan endokarditisinfeksi pada jantung dan boleh bawa maut,” ujar Sahruddin.

21 Februari lalu seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 1 bulan dilaporkan meninggal dunia kerana tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

Sahruddin menegaskan, orang ramai harus peka tentang kepentingan imunisasi untuk anak-anak mereka bagi melindungi penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti penyakit difteria.