JOHOR BAHRU: Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Johor Bahru pada Rabu atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki bulan ini.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majisteret, R. Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, seorang remaja berusia 18 tahun bersama dua rakannya yang berusia 15 dan 17 tahun didakwa secara bersama telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Serampang di Johor Bahru lebih kurang jam 5.15 petang pada 12 Disember lalu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun beserta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala ketiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun dua tertuduh remaja bawah umur perlu diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

23 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan sosial dan laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dua minggu lalu, tular di media sosial mengenai kejadian culik melibatkan seorang warga Singapura yang mendakwa cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada menjadi mangsa culik di bandaraya itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis Raub Selamat dalam satu kenyataan berkata, motif penculikan disyaki bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000.