KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Okt keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dua akaunnya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam Bersatu Rosli Dahlan dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili SPRM.

"Keputusan pada 9 pagi, 30 Okt melalui prosiding secara dalam talian," kata hakim.

Terdahulu, Rosli dalam hujahnya berkata sehingga kini Bersatu tidak menerima apa-apa perintah sitaan, justeru Bersatu ingin tahu mengapa tindakan (sita) itu diambil terhadap mereka.

"Sudah empat bulan sejak SPRM membuat pengumuman awam mengenai pembekuan itu. Dalam isu Bersatu, semua wang masuk ke dalam akaun parti dan tidak masuk ke dalam akaun individu," katanya.

Sementara itu, Shamsul dalam hujah balasnya berkata pengeluaran perintah penyitaan itu tidak boleh diterima untuk semakan kehakiman dan aduan berkaitan akaun bank Bersatu yang dibekukan dan seterusnya disita adalah dalam bidang kuasa mahkamah jenayah.

"Akaun bank Bersatu yang disita oleh SPRM adalah berhubung pertuduhan jenayah terhadap Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Pada 29 Mei, Kapt (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya untuk siasatan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bersatu mendakwa SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April bahawa kedua-dua akaun itu disita pada 11 April tetapi tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh tersebut.

-- BERNAMA