KUALA TERENGGANU: Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan 30 Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka di Hulu Terengganu, Setiu, Dungun dan Kemaman melibatkan 415 keluarga setakat jam 10 pagi pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin memberitahu mangsa banjir kini mencatatkan seramai 1,550 individu melibatkan lima daerah.

"Hujan di beberapa kawasan di Terengganu masih belum berhenti dan renyai. Diharapkan cuaca bertambah baik pada hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Di Kemaman, sebanyak tiga PPS melibatkan 48 keluarga dan 205 orang individu ditempatkan di sana.

Setakat ini, Dungun mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu 569 mangsa banjir ditempatkan di 10 PPS melibatkan 126 keluarga.

Manakala di Hulu Terengganu, sembilan buah PPS dibuka menempatkan 152 keluarga dan 514 mangsa banjir.

Tiada PPS dibuka di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus manakala sebuah PPS akan dibuka di Marang pada hari ini.