Sejumlah 314 daripada 382 kes yang difailkan di Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak telah disabit kesalahan sejak ia diwartakan pada 10 Julai, 2017.

Selain itu, 68 kes lagi ketika ini berada di pelbagai peringkat penyelesaian sebelum boleh dikemukakan kepada pihak pendakwaraya untuk disabit kesalahan.

Statistik ini dikongsi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) mengenai jumlah kes jenayah seksual kanak-kanak yang telah didakwa dalam Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak.

Selain itu, Azizah turut mengulangi komitmen kerajaan dalam membanteras keganasan seksual terhadap kanak-kanak melalui pendampingan dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mereka.

"Pihak kami sudah membukukan garis panduan berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan kami akan terus membuat jeyarawara bagi menyedarkan orang ramai berhubung masalah ini agar semua pihak boleh terlibat dalam menangani masalah ini," katanya.