IPOH: Seramai 32,376 pelajar di Perak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 108 orang merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan dan Perancangan Jabatan Pendidikan Perak, Rahimah Mohamed.

Pelajar CBPK tersebut membabitkan kategori masalah pembelajaran seramai 27 orang, kurang upaya pelbagai (14), kurang upaya pertuturan (2), kurang upaya fizikal (33), kurang upaya pendengaran (15) dan kurang upaya penglihatan (17).

"Pada tahun ini juga seramai tiga calon menduduki SPM di hospital iaitu dua calon di Hospital Raja Permaisuri Bainun serta seorang lagi di Hospital Gerik.

"Saya dimaklumkan ketiga-tiga calon ini terlibat dengan kes denggi, apendiks serta kanser darah," kata Rahimah kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini.

Katanya, daripada 32,376 calon, 28,716 adalah calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Sementara itu, baki calon adalah di bawah agensi kerajaan iaitu MRSM/ MTD/Sekolah Perantis Tentera (1,428), sekolah menengah agama negeri (93), cswasta yang berdaftar dengan KPM( 262), persendirian (1,656) dan sekolah menengah agama rakyat 581.

Tambahnya, bagi memastikan peperiksaan SPM negeri Perak berjalan lancar, seramai 2,726 orang petugas telah dilantik.