KUALA LUMPUR: Sejumlah 34 peratus daripada 446 tapak pembinaan didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR), 150 tapak pembinaan tersebut telah diarahkan tutup.

CIDB menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 2,000 tapak pembinaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa.

Daripada 2,423 tapak yang diperiksa, sebanyak 446 tapak pembinaan (18 peratus) didapati beroperasi manakala 1,977 tapak yang lain tidak beroperasi.

“Kesemua 150 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta-merta.

“Bagaimanapun, 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Jumlah tapak pembinaan yang diarahkan tutup paling tinggi terletak di Sarawak (45), diikuti Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6) Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1).

Manakala 11 tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi semula terletak di Terengganu (4), Melaka (3), Johor (2), Kuala Lumpur (1) dan Kedah (1).

Sehubungan itu, KKR memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana boleh menjejaskan objektif PKP ketika ini untuk mengekang penularan COVID-19.

“Penggiat industri pembinaan diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP 3.0 atau berdepan dengan tindakan tegas oleh CIDB.

“Selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000.00 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor,” kata kenyataan itu lagi.

Pada Ahad, 11 daripada 19 kluster baharu yang direkodkan merupakan kluster tempat kerja dengan tiga daripadanya melibatkan tapak pembinaan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), salah satu kluster yang dinamakan Tapak Bina Persiaran Hamidah dikesan di Hulu Langat, Selangor telah merekodkan 244 kes positif setakat semalam.