Dewan Rakyat hari ini diberitahu terdapat sebanyak 36 kes yang disabit dengan kesalahan di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak sejak akta itu diwartakan pada 10 Julai lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun berkata kementerian bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif ke arah mengurangkan berlakunya kes sumbang mahram.

"Program tersebut termasuk kempen Keselamatan Kanak-Kanak di Sekolah iaitu Sahabat B.I.J.A.K yang dilaksanakan dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyebar luas maklumat berkaitan aspek keselamatan kanak-kanak termasuk aspek keselamatan diri daripada sebarang ancaman seksual termasuk daripada anggota keluarga sendiri.

"Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti) 2009 turut diperkenalkan bertujuan melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyathari ini.

Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mengenai jumlah kes yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak sejak diwartakan pada 10 Julai lepas serta apakah rancangan kementerian untuk mengurangkan kes sumbang mahram.

Azizah berkata melalui Talian Kasih 15999 dan Childline, masyarakat boleh melaporkan sebarang isu sosial termasuk berkaitan kes sumbang mahram.

Katanya talian itu bertujuan memastikan sebarang laporan kes sosial dapat diajukan kepada agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya kementerian turut menyediakan perkhidmatan sokongan kaunseling kepada mangsa dan anggota keluarga yang terkesan dengan perlakuan kes sumbang mahram.

Dalam pada itu, Azizah berkata bagi memastikan kesedaran masyarakat terhadap jenayah seksual termasuk kes sumbang mahram, kementerian turut bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Permata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Cyber Security dengan mengadakan seminar seperti seminar Jenayah Seksual : HENTIKAN dan seminar Cyber Safe : Memelihara Kesejahteraan Kanak-Kanak dan Wanita.

-- BERNAMA