SEKITAR 37.5 peratus atau 8.7 juta penduduk negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin. 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan 67.4 peratus atau kira-kira 15.7 juta penduduk negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, JKJAV turut memaklumkan sejumlah 389,641 dos suntikan vaksin COVID-19 direkod pada 8 Ogos.

Daripada jumlah itu 156,816 ialah penerima dos pertama manakala 232,825 ialah penerima dos kedua.


Jumlah itu bagaimanapun sedikit menurun berbanding purata yang dicatatkan selama beberapa minggu kebelakangan ini, iaitu antara 400,000 hingga 500,000 setiap hari.

Selangor merekodkan jumlah harian dos tertinggi dengan lebih 20,000 dos bagi dos pertama dan lebih 67,000 dos kedua.

Ini diikuti Johor, dengan lebih 16,000 dos pertama manakala dos kedua pula melebihi 35,000.

Laporan harian vaksinasi itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksinasi kini sebanyak 24,542,437 dos.