Pendekatan WEL angkat graduan IUC ke pasaran kerja

IUC baru-baru ini menganjurkan Istiadat Konvokesyen ke-11 di PICC, yang menyaksikan seramai 528 graduan daripada program diploma dan sijil diraikan. - Foto IUC
PUTRAJAYA: Innovative University College (IUC) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan berteraskan industri apabila lebih 70 peratus graduannya berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh singkat selepas menamatkan pengajian.
Pengasas dan Ahli Lembaga Pengarah IUC, Shahawati Umar berkata pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan pelaksanaan pendekatan Work Experience Learning (WEL) yang memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman kerja sebenar.
“Melalui WEL, pelajar tidak hanya belajar teori di dalam bilik kuliah, sebaliknya didedahkan secara langsung kepada persekitaran kerja sebenar sejak awal pengajian. Ini menjadikan mereka lebih matang, berdaya saing dan bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Shahawati menambah, kejayaan itu turut didorong oleh hala tuju kepimpinan strategik serta ekosistem pembelajaran industri yang diterajui Ketua Eksekutif Innovative Capital Berhad, Prof Datuk Wira Dr Azizan Osman, yang menekankan pembangunan bakat holistik merangkumi kebolehpasaran, kepimpinan dan keusahawanan.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah IUC, Datuk Ahmad Rizal Mohd Noor berkata, IUC sentiasa memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan semasa industri dan kehendak majikan.
“Kami tidak mahu melahirkan graduan yang cemerlang di atas kertas semata-mata. Fokus kami ialah membentuk graduan yang mempunyai kemahiran praktikal, etika profesional dan nilai kerja tinggi agar terus relevan dalam dunia pekerjaan yang dinamik,” katanya.
Sebagai universiti korporat yang mengutamakan pembelajaran berasaskan pengalaman kerja, IUC turut merekodkan kadar kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing untuk industri tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, IUC baru-baru ini berjaya menganjurkan Istiadat Konvokesyen ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), yang menyaksikan seramai 528 graduan daripada program diploma dan sijil diraikan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Canselor IUC, Kapten (P) Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob, dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi institusi termasuk Ahli Lembaga Pengarah serta Lembaga Tadbir Urus IUC.
Antara detik istimewa majlis ialah penyampaian Anugerah Canselor kepada Mohamad Azlie Jamil, graduan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan sahsiah terpuji sepanjang tempoh pengajian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


