Skip to main content

Malaysia

37 pendatang asing ditahan dalam Ops Bersepadu Imigresen Sarawak

61755493796_JabatanImigresen.jpg
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 37 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini, Kota Samarahan dan Lundu selama dua hari bermula Khamis lepas. - Gambar fail

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 37 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini, Kota Samarahan dan Lundu selama dua hari bermula Khamis lepas. 

Kenyataan JIM hari ini memaklumkan operasi yang dilaksanakan menerusi Unit Operasi, Bahagian Penguat Kuasa Kuching itu melibatkan Ops Selera, Ops Minyak, Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Gegar.

Menurut JIM, operasi dari 9 pagi hingga 4 pagi itu melibatkan pemeriksaan di 13 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warga asing.

“Antara lokasi yang diperiksa ialah premis perjudian dalam talian, kedai makan, bilik sewa, kedai mencuci kenderaan, kilang serta pusat hiburan di sekitar Kota Sentosa, Bintawa, Bandar Baru Semariang, Tabuan Jaya, Kota Samarahan, Pekan Lundu dan Pending.

“Hasil pemeriksaan terhadap seramai 122 individu telah membawa kepada penahanan 37 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” menurut kenyataan itu.

Kesalahan yang dikenal pasti termasuk di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan Seksyen 6(1)(c) akta sama iaitu tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di Malaysia.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa JIM Sarawak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menahan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement