SHAH ALAM: Sebanyak 38 along termasuk tiga wanita yang bergiat aktif menawarkan perkhidmatan pinjaman wang secara haram menerusi platform media sodial sejak setahun yang lalu ditahan polis dalam Ops Vulture.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memberitahu, kesemua mereka yang berusia 21 hingga 61 tahun itu ditahan dalam 10 serbuan berasingan antara 3 Jun hingga 8 Jun lalu.

"Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi di sekitar Selangor antara satu hingga dua tahun dengan menjalankan aktiviti pinjaman wang segera menggunakan medium iklan seperti poster, bunting dan risalah yang diletakkan di peti surat atau kenderaan.

"Mereka juga dikenal pasti menjalankan kegiatan pinjaman tidak wujud di mana tawaran dijalankan secara maya menggunakan pelbagai aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi menjerat peminjam," katanya dalam sidang media yang dijalankan secara maya di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, pihaknya mendapati kumpulan itu menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi iaitu 10 hingga 15 peratus sebulan kepada peminjam.

"Ada di antara mereka yang memberi pinjaman sehingga RM1 juta," katanya lagi.

Selain itu, katanya, polis turut merampas tujuh buah kereta pelbagai jenis dan wang tunai kira-kira RM57,000.

Semakan juga katanya, mendapati sebahagian daripada mereka mempunyai kes lampau membabitkan kes Akta dadah Berbahaya dan Akta Rumah Judi Terbuka.

Beliau memaklumkan, kesemua mereka ditahan reman antara 9 Jun dan 14 Jun lalu.