GOMBAK: Polis berjaya menyelamatkan 38 kanak-kanak warganegara Myanmar dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kilang memproses pelitup muka di Selayang pada 14 Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, serbuan dijalankan kira-kira 8.30 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Pemeriksaan di kilang terbabit membawa kepada penemuan 38 kanak-kanak warganegara Myanmar berusia antara 13 hingga 18 tahun yang bekerja di premis itu.

"Tangkapan telah dibuat terhadap tiga lelaki dan tiga wanita berumur di antara 21 hingga 41 tahun yang berperanan sebagai majikan dan pemilik kilang selain penyelia, pembantu serta penjaga.

"Seramai 38 orang mangsa kanak-kanak warganegara Myanmar berumur antara 13 hingga 18 tahun telah berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut.

"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) kerana disyaki menggaji dan melakukan eksploitasi kerja paksa terhadap (38) orang mangsa di bawah umur," jelasnya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Rembau, Negeri Sembilan dan Rumah Perlindungan Bukit Senyum, Johor.

Tiga suspek lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP), Klang pada 4 Mac lalu atas 35 pertuduhan dibawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan. Mahkamah menetapkan 28 Mac depan bagi sebutan semula kes.