Seramai 393 warga asing diberkas di Kuala Lumpur dari Januari hingga Oktober tahun ini atas kesalahan memiliki dadah.

Warga Myanmar, Indonesia dan Iran adalah antara tiga warga asing tertinggi yang ditahan oleh polis Kuala Lumpur dengan warga Myanmar mencatatkan sebanyak 176 orang, Indonesia sebanyak 51 orang dan diikuti oleh Iran sebanyak 35.

Dalam perkembangan yang sama, empat warganegara asing diberkas dan sejumlah dadah berharga RM282,000 berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan yang dilakukan oleh polis di sekitar kawasan Kuala Lumpur pada Ahad dan Rabu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Supt Adnan Azizon berkata dalam serbuan pertama Ahad lepas, dua lelaki berumur 27 dan 28 dari Pakistan ditahan di sekitar tempat letak kereta di Capsquare, Jalan Munshi Abdullah dan tiga peket dadah jenis syabu seberat 1673 gram berharga RM170,000 dirampas, manakala pada Rabu lepas, dua warga Nigeria berumur 27 tahun ditahan dan satu peket syabu seberat 996 gram berharga RM112,000 turut dirampas.

“Dalam serbuan pertama, kita mendapat maklumat bahawa dua suspek ini yang juga penjual baju di sekitar kawasan Jalan Munshi Abdullah sedang berlegar-legar di tempat letak kereta di Capsquare di Jalan Munshi Abdullah,” kata Adnan.

Polis kemudiannya menyerbu dan lantas memberkas kedua-dua suspek itu. Pemeriksaan selanjutnya menjumpai tiga kotak tisu yang dibungkus dalam sebuah beg plastik dan apabila dibuka, tiga peket plastik lutsinar disyaki syabu berjaya ditemui.

“Kedua-dua suspek dipercayai teman sekampung di Pakistan dan telah masuk ke negara ini pada tahun 2008. Mereka dipercayai baru sahaja bergiat aktif dalam kegiatan dadah ini berdasarkan tiada rekod jenayah lampau dicatatkan,namun saringan air kencing kedua-dua suspek menunjukka mereka positif dadah” kata Adnan.

Kedua-dua suspek ini direman sehingga 15 Disember untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan, dua pelajar kolej swasta dari Nigeria ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Kedua-dua suspek ditahan pada pukul 6 petang ketika polis menyerbu sebuah hotel di Jalan Menara Gading di Taman Connaught, Cheras dan hasilnya polis menjumpai satu peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu yang di letakkan didalam sebuah kotak kasut.

“Kedua-dua suspek ini belajar di dua kolej swasta yang berasingan di ibunegara dan kedua-dua mereka telah masuk ke negara ini pada tahun lepas. Kita masih lagi menyiasat untuk mengenal pasti rangkaian dadah yang mereka terlibat,” kata Adnan.

Suspek-suspek ini juga postif dadah melalui ujian air kencing mereka dan telah direman sehingga 19 Disember.

Kedua-dua kes disiasat di bawak Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.