Skip to main content

Malaysia

3R: Tambah baik sistem perundangan hadapi cabaran media sosial - SekPur

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Ketua Kluster Politik MEMO Shahbudin Embon (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.  Turut kelihatan, Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) Mustapa Mansor (kiri)._BERNAMA
Shahbudin mencadangkan skop perlindungan perundangan diteliti semula agar turut merangkumi institusi kepimpinan utama negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerangka perundangan negara berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) memerlukan penambahbaikan yang lebih dinamik bagi mendepani trend penyalahgunaan media sosial yang semakin kompleks.

Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) Shahbudin Embon berkata pendekatan sedia ada perlu diperhalusi bagi memastikan sistem keadilan bukan sahaja bersifat menghukum, malah mampu memberi pengajaran yang bermakna kepada masyarakat.

Advertisement

Beliau berkata peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 dengan kadar denda maksimum RM5,000 ketika ini dilihat tidak selari dengan impak kerosakan yang boleh dicetuskan oleh hantaran yang tular menerusi media sosial.

"Langkah memperkasakan undang-undang ini termasuk mempertimbangkan hukuman penjara mandatori bagi kes-kes serius melibatkan kedaulatan institusi raja adalah perlu bagi mencerminkan kepentingan memelihara keharmonian nasional," katanya pada sidang media di sini semalam.

Shahbudin mencadangkan skop perlindungan perundangan diteliti semula agar turut merangkumi institusi kepimpinan utama negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, bagi membendung budaya provokasi melampau demi kepentingan kandungan digital semata-mata.

Beliau pada masa sama menyarankan kerjasama yang lebih erat antara pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memantau aktiviti akaun palsu yang sering menjadi punca kepada ketegangan kaum dan agama.

“Mengambil iktibar daripada amalan perundangan di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, ketegasan undang-undang di sana terbukti menjadi instrumen penting dalam memelihara maruah institusi tertinggi negara masing-masing,” katanya.

Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, individu kali pertama disabitkan kesalahan menghasut melalui ucapan atau penerbitan boleh dijatuhi denda maksimum RM5,000, dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Peruntukan itu merangkumi tindakan menerusi pelbagai platform sebagai usaha membendung elemen hasutan yang menggugat ketenteraman awam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video