Skip to main content

Malaysia

Pakej mahal bukan tiket dapat giliran tunai haji

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji, Anuar Ahmad. Foto Astro AWANI
Anuar berkata, pilihan jemaah terhadap PJH tidak bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Bayaran pakej haji yang mahal melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH) bukan penentu kelulusan rayuan atau tiket untuk mendapatkan giliran menunaikan ibadat haji lebih awal, tegas Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji, Anuar Ahmad.

Menurut beliau, semua permohonan dan rayuan haji dinilai sepenuhnya melalui sistem Tabung Haji (TH) tanpa mengambil kira pakej yang dipilih, sama ada bernilai RM50,000 atau mencecah ratusan ribu ringgit.

Advertisement

“Itu bukan kriteria. Harga pakej tidak mempengaruhi kelulusan rayuan. Semua rayuan mesti dibuat melalui sistem Tabung Haji dan dinilai berdasarkan kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya dalam temu bual di sini.

Anuar menjelaskan, setiap pendeposit TH yang terpilih akan menerima tawaran haji secara automatik sebagai jemaah Muassasah, sebelum diberikan pilihan sama ada kekal dengan Muassasah atau memilih perkhidmatan nilai tambah melalui PJH.

Katanya, peranan PJH sering disalah tafsir seolah-olah menjadi laluan khas untuk menunaikan haji, sedangkan hakikatnya ia hanya menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan keperluan dan kemampuan jemaah.

“Muassasah sudah menyediakan perkhidmatan asas yang sangat baik dan diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi. PJH hanya menambah nilai, bukan menggantikan sistem sedia ada,” katanya.

Menurut Anuar, antara sebab jemaah memilih PJH adalah kerana perkhidmatan nilai tambah yang tidak dapat disediakan secara menyeluruh oleh Muassasah, antaranya:

Katanya, faktor keselesaan, kesihatan dan keperluan individu menjadi pertimbangan utama jemaah, bukan semata-mata soal harga.

“Ada jemaah tidak kisah berjalan jauh, ada yang perlukan jarak lebih dekat. Itu semua bergantung kepada keperluan masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, bagi musim haji tahun ini, seramai 34 syarikat PJH dilesenkan oleh TH untuk mengendalikan jemaah haji Malaysia, melibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kuota haji negara, meningkat berbanding 28.3 peratus pada tahun lalu.

Anuar berkata, pilihan jemaah terhadap PJH tidak bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

“RM70,000 di satu syarikat tidak semestinya sama dengan RM70,000 di syarikat lain. Servis yang diberikan itulah yang dinilai oleh jemaah,” katanya.

Pakej PJH menawarkan harga dalam julat sekitar RM55,000 hingga RM250,000, bergantung kepada perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

Dalam pada itu, Anuar menegaskan tiada kuota khas diberikan kepada mana-mana syarikat PJH dan semua jemaah bebas membuat pilihan selepas menjawab tawaran rasmi TH.

Beliau berkata, setiap PJH hanya dilesenkan untuk satu musim haji, dan perlu memohon lesen semula pada tahun berikutnya tertakluk kepada penilaian dan syarat yang ditetapkan.

“Bukan semua syarikat boleh beroperasi. Hanya 34 syarikat yang dilesenkan untuk musim ini, dan senarainya diumumkan secara terbuka melalui laman web TH,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan janji kelulusan haji atau pakej meragukan di luar sistem TH.

Beliau menggesa orang ramai untuk membuat semakan melalui laman web rasmi Tabung Haji, pusat panggilan TH, atau mana-mana pejabat TH berhampiran.

“Jangan terpedaya dengan tawaran di luar sistem. Pilih hanya PJH yang dilesenkan bagi mengelakkan penipuan,” tambahnya.

Must Watch Video