KOTA BHARU: Sejumlah 4,274 murid sekolah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan jumlah peruntukan lebih RM616,000 tahun lepas.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata pihaknya sentiasa prihatin dalam memberikan bantuan terutamanya kepada golongan pelajar yang memerlukan untuk mendapat kualiti pendidikan yang lebih baik.

"YBR sentiasa komited bagi membantu sosioekonomi melalui pendidikan serta membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

"Selain itu, para pelajar juga dapat menggunakan bantuan ini untuk membuat pembelian kelengkapan alatan pembelajaran yang masih belum mencukupi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Syaiful Rizal berkata sebelum ini YBR turut memberikan Bantuan Awal Pengajian (BAP) dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Bantuan ini melibatkan 100 pelajar semester satu hingga tiga di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap seorang dari golongan B40 dan pemilihan mereka dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMK.

"Saya harap dengan pemberian insentif ini menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk meneruskan sesi pengajian dan kekal menunjukkan prestasi cemerlang," katanya.

-- BERNAMA