KOTA KINABALU: Empat kluster baharu telah dikesan di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, kluster-kluster tersebut telah dikenal pasti di daerah Sandakan, Keningau dan Kota Belud.

Katanya, dua kluster telah dikesan di Sandakan iaitu Kluster Lorong Megah Jaya dan Kluster Jalan Labuk 3.

"Kluster Lorong Megah Jaya melibatkan rumah pekerja di Bandar Megah Jaya dan telah dikesan pada 12 April, apabila kes indeks yang bekerja di pusat kesihatan menjalani saringan bergejala dan disahkan positif COVID-19.

"Susulan kes itu, saringan terhadap 37 kontak rapat mendapati 17 kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes. Berdasarkan penelitian, penularan jangkitan dipercayai berlaku dalam kalangan rakan sekerja yang tinggal di rumah pekerja.

"Sementara itu, Kluster Jalan Labuk 3 melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama penuh mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes.

"Kes indeks merupakan seorang pelajar yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 7 April, saringan kontak rapat di asrama sekolah terbabit mendapati 10 pelajar positif, manakala empat kes lagi positif dalam kalangan kontak serumah," katanya di sini, hari ini.

Masidi berkata, Kluster Biah Skim di Keningau mencatatkan jumlah kumulatif 10 kes, setelah sembilan kes positif dikesan hasil saringan kontak rapat.

Kes indeks disahkan positif COVID-19 melalui saringan prakemasukan ke wad bersalin di sebuah pusat perubatan di Keningau pada 13 April lalu.

"Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri arwah saudara pada 29 Mac yang dihadiri ahli keluarga dan jiran di Kg. Biah Skim. Saringan kontak rapat dan pengesanan punca kini masih aktif jalankan," katanya.

Beliau berkata, Kluster Melangkap Tomis yang dikesan di Kota Belud pula melibatkan kes di Tuaran dan Kota Belud.

"Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan silang dalam kalangan 178 tetamu yang menghadiri majlis pertunangan di Kg. Melangkap Tomis pada 30 Mac. Kluster ini mencatatkan 10 kes kumulatif," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah dikehendaki mengkaji semula aktiviti pasar malam, pasar am, pasar mingguan, pasar tamu dan gerai-gerai memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk mengawal penularan COVID-19 di Sabah.

Sabah hari ini mencatatkan pertambahan kes COVID-19 yang drastik dengan 202 kes, berbanding 142 kes semalam dengan satu kematian turut direkodkan di Sandakan.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Tawau (58 kes), Sandakan (46 kes) dan Kota Kinabalu (39 kes).