Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan Daish, antara 2 Ogos hingga 17 September lalu.

Dalam operasi di sekitar Selangor dan Pahang itu, penahanan melibatkan tiga warga asing dan seorang rakyat tempatan yang berusia antara 26 tahun ke 39 tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya memaklumkan tiga warga asing yang ditahan masing-masing dari Bangladesh, Nepal dan Maghribi.


Warga Bangladesh berusia 37 tahun merupakan pemilik sebuah restoran di Bukit Bintang ditahan kerana disyaki terbabit menyeludup senjata api bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa.

Katanya, lelaki terbabit turut dikehendaki Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan berada dalam senarai merah.

Manakala warga Nepal berusia 38 tahun pula merupakan ahli perniagaan pusat hiburan dan penginapan dan disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa.

"Kedua-dua suspek ditahan pada 19 Ogos dan sudah diusir ke negara asal pada 2 September lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata seorang warga Maghribi berkerja sebagai jurukimpal besi berusia 28 tahun menjadi suspek ketiga ditahan pada 2 Ogos lalu.

Katanya, suspek yang juga anggota kumpulan Daish pernah ditahan oleh pihak berkuasa Turki ketika cuba menyusup masuk ke Syria pada awal Februari lalu.

Selepas dibebaskan, suspek menyusup masuk ke Malaysia pada awal Mei lalu dan sudah diusir pulang ke negara asal pada Rabu lalu.

Sementara itu, warga tempatan yang ditahan berusia 34 tahun, bekerja sebagai pemandu peribadi dan dipercayai mempunyai kaitan dengan Komander Daish Malaysia di Syria Wanndy Mohamad Jedy.

Suspek keempat terbabit disyaki aktif mempromosikan aktiviti militan Daish menerusi akaun Facebooknya

Tangkapan terhadap suspek warga Nepal dan Bangladesh adalah mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/1963 manakala warga Maghribi dan rakyat tempatan itu ditahan mengikut Akta Kes Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).