KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di Kuala Pilah, Lahad Datu, Mukah dan Papar berkuat kuasa 31 Mei hingga 13 Jun 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh , Kuala Pilah,  Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu, tiga rumah panjang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah dan Kampung Padawan, Papar.

Berikut perincian empat lokaliti berkenaan:

1. PKPD 3 kawasan perumahan, Mukim Juasseh , Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga kawasan perumahan, Mukim Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam tempoh singkat.

Ketiga-tiga kawasan perumahan tersebut ialah:
- Taman Desa Permai
- Rumah Rakyat Juasseh
- Taman Sri Juasseh

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 51 kes positif COVID-19 telah direkodkan iaitu 21 kes di Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh (17 kes) dan Taman Sri Juasseh (13 kes).

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan memutuskan PKPD di tiga rumah panjang seperti dinyatakan akan dilaksanakan bermula 31 Mei sehingga 13 Jun 2021.

Ini membolehkan KKM mengenalpasti, mengasingkan serta melakukan ujian saringan ke atas kontak rapat sekali gus mengelak penularan jangkitan ke luar kawasan.


2. PKPD Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu, Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes COVID-19 di Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu, Sabah.

Sehingga kini, sebanyak 10 kes telah direkodkan oleh KKM setelah menjalani ujian saringan ke atas 28 penduduk di lokaliti tersebut.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun 2021.

Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut.


3. PKPD 3 rumah panjang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah, Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan perkembangan semasa kes COVID-19 di tiga panjang, Ulu Sungai Sebakong, Mukah, Sarawak iaitu:

- Rumah Panjang Rimong anak Kilat
- Rumah Panjang Asin anak Aji
- Rumah Panjang Bija anak Unggang

Berlaku peningkatan kes iaitu sebanyak 35 kes positif telah direkodkan hasil daripada 93 ujian saringan dilakukan oleh KKM.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga rumah panjang seperti dinyatakan berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun 2021.

Pelaksanaan PKPD memudahkan KKM menjalani ujian saringan serta pembendungan wabak secepat mungkin.


4. PKPD Kampung Padawan, Papar, Sabah

Sehingga kini, KKM telah melakukan 238 ujian saringan dan sembilan daripadanya didapati positif COVID-19.

KKM mengesahkan berlaku peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Padawan, Papar, Sabah berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun 2021.

Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut.


Dalam pada itu, berikut merupakan tiga lokaliti PKPD yang ditamatkan dan dilanjutkan:

Penamatan PKPD Seri Kemunting, Kuantan, Pahang

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seri Kemunting, Kuantan,Pahang yang dijadualkan tamat pada, 30 Mei 2021.

Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 392 ujian saringan dan 40 daripadanya disahkan positif COVID-19.

KKM mengesahkan berlaku penurunan kes manakala semua kes positif telah diasingkan dan menerima rawatan.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Seri Kemunting, Kuantan, Pahang pada 30 Mei 2021, seperti yang dijadualkan.


Penamatan PKPD Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang yang dijadualkan tamat pada, 30 Mei 2021.

Sebanyak 270 ujian saringan telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 140 daripadanya disahkan positif COVID-19.

KKM mengesahkan kes telah menurun manakala semua kes positif diasingkan dan menerima rawatan.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang pada 30 Mei 2021, seperti yang dijadualkan.


Pelanjutan PKPD Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah yang dijadualkan tamat pada, 30 Mei 2021.

Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 336 ujian saringan dan 53 daripadanya disahkan positif COVID-19.

Pada masa sama, KKM mendapati kes masih lagi menular di lokaliti tersebut serta terdapat juga sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah bermula 31 Mei sehingga 13 Jun 2021.