Lebih 40,000 belia menyertai larian amal Malaysians United Run (MUR) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini pagi ini sekali gus diiktiraf sebagai Penyertaan Terbesar Belia Dalam Larian BrandLaureate.

Larian sejauh lima kilometer anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) itu turut disertai Menteri Pertahanan merangkap Penaung IOJ, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun.

Hishammuddin berkata, MUR 2017 dengan tema 'Let's Light Up Our Children's Future' diadakan bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik demi membantu memperbaiki kehidupan masa depan mereka.

Selain itu, katanya, larian ini dianjurkan bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara rakyat pelbagai kaum, selain meningkatkan lagi semangat kesukarelawan khususnya dalam kalangan belia.

"Saya amat berpuas hati dengan dan teruja melihat penyertaan ribuan belia dalam larian berkenaan dan membuktikan rakyat pelbagai kaum di negara ini mampu berkumpul bersama meraikan perpaduan dan keamanan dalam dunia yang penuh kebencian.

"Kepelbagaian kaum ini yang menjadi kekuatan kepada negara. Saya harap momentum hari ini akan berterusan untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju lain pada masa akan datang.

"Saya juga berbangga dengan penganjuran MUR 2017 kerana ia bukan sahaja berjaya mengumpulkan seramai 40,000 peserta dari 60 kolej dan universiti, tetapi turut diiktiraf oleh BrandLaureate," katanya ketika berucap sebelum melepaskan peserta larian di SIC, hari ini.

Turut sama melepaskan peserta adalah jaguh badminton negara, Wong Choon Han yang membawa Jalur Gemilang.

Menariknya, peserta yang menamatkan larian disambut alunan gamelan dan paluan gendang dari tiga kaum utama di negara ini.

Terdahulu, Hishammuddin turut menyerahkan dana berjumlah RM250,000 sumbangan pelbagai syarikat bagi menaja 50 kanak-kanak kurang bernasib baik untuk perbelanjaan pendidikan sepanjang 2018.

Dana ini akan diletakkan d ibawah pemantauan Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk memastikan sumbangan penaja diguna sebaik mungkin untuk pendidikan mereka.

Hishammuddin berkata, dana yang diperoleh dari penaja seperti syarikat Sapura, Techtrend dan Weststar akan diuruskan sepenuhnya oleh jawatankuasa yang dilantik terdiri daripada wakil IPT termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan KDU University College.

Katanya, setiap jawatankuasa akan menguruskan sekurang-kurangnya satu kes, dengan dana daripada setiap penaja akan digunakan untuk menampung perbelanjaan pendidikan setiap kanak-kanak kurang bernasib baik terpilih selama setahun.

Pada majlis sama, Hishammuddin turut memperkenalkan 100 duta IOJ, dan menyampaikan anugerah kepada penuntut Universiti Help Vincent Tan yang diumumkan sebagai duta terbaik.