40 peratus hasil Sabah: 'Percayalah pada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI'

Arthur berkata hubungan antara Persekutuan dan Negeri penting, serta menyeru kepada perpaduan sebagai satu persekutuan untuk memupuk keharmonian di Malaysia yang berbilang kaum dan agama. - Gambar hiasan/BERNAMA
KOTA KINABALU: Pemimpin Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil negeri, dan menggesa rakyat negeri itu meletakkan kepercayaan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan MADANI.
Ringkasan AI
- Pemimpin Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri, menggesa rakyat negeri itu meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI.
- Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan Kerajaan Persekutuan bertindak tidak sah berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri dari tahun 1974 hingga 2021.
- Pengerusi BN Sabah menegaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri adalah hak perlembagaan yang mesti dipatuhi tanpa rundingan serta menuntut Kerajaan Persekutuan pulihkan hak tersebut tanpa kelewatan.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tahun 1974 hingga 2021.
Pada Selasa, dalam satu kenyataan, Pejabat Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkaitan Permberian Khas 40 peratus hasil untuk Sabah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri itu, menunjukkan bahawa Anwar memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.
Arthur berkata kemenangan kerajaan Malaysia di Mahkamah Antarabangsa bagi kes tuntutan Sabah oleh kumpulan Sulu, sebagai salah satu contoh komitmen tersebut, selain autonomi negeri yang lebih besar diberikan kepada Sabah untuk melaksanakan projek bernilai RM50 juta dan ke bawah.
Beliau berkata hubungan antara Persekutuan dan Negeri penting, serta menyeru kepada perpaduan sebagai satu persekutuan untuk memupuk keharmonian di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri itu, merupakan hak perlembagaan yang tidak boleh dirunding atau ditangguhkan.
"Keputusan ini menegaskan satu kebenaran undang-undang yang asas, hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bukanlah satu konsesi politik. Ia merupakan kewajipan perlembagaan yang telah lama tidak dipenuhi," katanya.
Bung Moktar berkata peruntukan itu, merupakan komitmen perlembagaan yang mengikat dan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak penubuhan Malaysia pada 1963, sambil menambah bahawa kelemahan pentadbiran sejak 1974, telah menjejaskan prinsip persekutuan.
Beliau berkata sebarang rundingan mesti dijalankan secara telus, berasaskan data kewangan yang disahkan, dan bebas daripada sebarang manipulasi politik, serta memberi amaran bahawa Sabah tidak akan lagi menerima perbincangan yang tidak membawa hasil.
"BN Sabah akan meneliti setiap peringkat proses ini. Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan jelas dan tidak boleh dipisahkan, pulihkan hak Sabah tanpa sebarang kelewatan.
"Ini bukan gimik politik, tetapi tuntutan keadilan perlembagaan. BN Sabah tetap tegas, 40 peratus adalah hak Sabah," katanya.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustafa Sakmud yang mengalu-alukan keputusan bersejarah itu dan menyifatkan ia sebagai titik pemulihan keadilan fiskal yang dinantikan hampir 50 tahun oleh rakyat Sabah.
"Keputusan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghormati semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah dalam bentuk tindakan berani dan berprinsip," katanya.
Beliau turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah, bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pengagihan 40 peratus hasil tersebut dapat dijalankan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

