41 bulan penjara akibat tikam imam

Sharom Abu Bakar
Mei 16, 2019 03:25 MYT
Muhammad Khairil diiringi polis di Mahkamah Majistret Besut hari ini. - Astro AWANI
Padah menikam imam, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 41 bulan oleh Mahkamah Majistret Besut pada Khamis.
Keputusan itu dibuat Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat selepas tertuduh, Muhammad Khairil Nawi, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairil didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Amin Md Nor, 37, dengan menggunakan pisau yang mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam Masjid Kampung Apal pada 12 Mei lalu kira-kira pukul 6.30 pagi.
BACA: Imam ditikam kerana baca al-Quran guna pembesar suara
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Insp Norkhizan Ramli manakala tertuduh yang mempunyai rekod jenayah lampau diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemuda bertindak menikam seorang imam yang sedang membaca al-Quran kerana bacaan imam itu mengganggu lelaki itu yang sedang tidur.
Akibat perbuatan suspek, mangsa menerima tujuh jahitan di kiri dadanya.
#Besut #jerteh #Masjid Kampung Apal #tikam imam