CYBERJAYA: Syarikat-syarikat telekomunikasi telah menyekat 410.59 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diminta (unsolicited SMS) dalam tempoh Jan hingga Sept lepas susulan arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata 19 juta SMS yang mengandungi pautan (hyperlink) pula telah disekat dalam tempoh 2 Mei hingga September lepas.

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada usaha bagi menyekat kegiatan penipuan dalam talian (online scam) sama ada dalam bentuk laman web, social media akaun, SMS atau panggilan telefon.

"Kita boleh sekat, tapi masih tiada penyelesaian yang boleh block semua (scam). Jadi orang (scammer) masih boleh register nama yang baharu untuk hantar mesej berbentuk phishing," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran 'RUNHACK: SCAM ALERT! 2023' di sini hari ini.

Pada 14 Feb lepas MCMC memberitahu bahawa pihaknya secara berterusan mengarahkan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menyekat serta merta mana-mana SMS yang mengandungi kandungan terlarang daripada dapat dihantar mahupun diterima oleh mana-mana individu.

Ia sebagai usaha MCMC dalam membanteras penipuan dalam talian melalui rangkaian perkhidmatan telekomunikasi.

Teo berkata dalam tempoh Januari hingga 31 Okt lepas pula, MCMC juga telah menurunkan 4,013 akaun dan kandungan berunsur penipuan, serta menyekat 1,764 laman sesawang palsu untuk penipuan pemancingan maklumat.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis berkenaan Teo berkata pusat tindak balas insiden siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia (CSM) merekodkan penipuan dalam talian sebagai insiden keselamatan siber tertinggi yang dilaporkan.

Beliau berkata daripada 4,898 insiden yang diterima pada Januari hingga Oktober lepas 3,087 insiden adalah berkaitan penipuan dalam talian.

"Situasi ini menunjukkan bahawa jenayah scam merupakan masalah yang serius. Oleh itu pelbagai usaha, inisiatif dan kempen berkaitan dengan penipuan dalam talian dan scam perlu dipergiat dan diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pendekatan lebih kreatif dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata penganjuran acara larian RUNHACK: SCAM ALERT! 2023 dapat menjadi platform baik untuk menyampaikan pelbagai mesej kesedaran mengenai jenayah scam kepada orang ramai.

RUNHACK: SCAM ALERT! 2023 merupakan program berkonsepkan larian santai sejauh lima kilometer dan akan diadakan di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Dis ini.

Program itu menyasarkan 2,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penyertaan berkeluarga, dan peserta yang berjaya menamatkan larian akan menerima pingat larian, jersi "Run Hack" (dewasa sahaja), beg bertali serta pek makanan ringan.

Di sepanjang larian, para peserta akan melalui beberapa 'checkpoint' dan mereka diperlukan untuk melakukan aktiviti tertentu bagi menguji tahap kesedaran serta kefahaman mengenai isu berkaitan penipuan, termasuk penipuan dalam talian.

-- BERNAMA