NATIONAL
42 isu tadbir urus, tatakelola dikenal pasti dalam NAFAS - Mohamad Sabu

Mohamad memaklumkan ekoran penggantungan perlembagaan NAFAS yang berkuat kuasa pada 1 November lalu, ia kini ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenal pasti 42 isu tadbir urus dan tatakelola dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang didedahkan melalui Laporan Pengauditan Khas pada 2018.
Ringkasan AI
- Isu tadbir urus dan tatakelola NAFAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenal pasti 42 isu tadbir urus dan tatakelola dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang didedahkan melalui Laporan Pengauditan Khas pada 2018.
- Tindakan penambahbaikan: Walaupun tindakan penambahbaikan ke atas isu ini tidak dapat dilaksanakan akibat peralihan kerajaan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, telah mewartakan NAFAS sebagai badan awam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan.
- Reformasi dan penggantungan Perlembagaan NAFAS: Ekoran penggantungan Perlembagaan NAFAS pada 1 November lalu, ia kini ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar. Laporan pihak Pendaftar Pertubuhan Peladang akan dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi.
"Selain itu, saya juga telah mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bagi Pemantapan Tatakelola NAFAS bermula 7 Februari sehingga 31 Oktober 2024.
"Hasil laporan daripada pihak jawatankuasa khas ini menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk melaksanakan reformasi menyeluruh ke atas tadbir urus dan tatakelola NAFAS," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mahu tahu penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam NAFAS dan, apakah halatuju kementerian dalam menstruktur semula pertubuhan itu.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan ekoran penggantungan Perlembagaan NAFAS yang berkuat kuasa pada 1 November lalu, ia kini ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar.
Katanya, laporan pihak Pendaftar Pertubuhan Peladang sepanjang tempoh penggantungan perlembagaan NAFAS akan dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.
"Suka dinyatakan di sini bahawa operasi, obligasi dan kewajipan NAFAS kepada mana-mana pihak ketiga adalah tidak terjejas dan akan dilaksanakan serta diteruskan oleh Pentadbir.
"Bagi urusan perniagaan NAFAS yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS.
"Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian NAFAS di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola NAFAS bagi memperkasa semula NAFAS secara holistik," ujar beliau lagi.
Dalam masa sama, Mohamad berkata sebanyak lapan strategi pembaharuan dan hala tuju dilaksanakan kementerian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam menstruktur semula NAFAS termasuk menambah baik tatakelola serta penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus NAFAS.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Beberapa siri pembongkaran sudah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami