KUCHING : Sarawak merekodkan kes harian tertinggi COVID-19 dalam negara hari ini dengan tambahan 426 kes positif baharu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Hari ini menunjukkan jumlah kes tertinggi iaitu 426 kes positif dilaporkan. Daripada 426 kes tersebut, 203 kes adalah di Serian dimana (pada hari ini) 191 kes dikesan dari operasi penutupan dan pemeriksaan yang dilakukan di Depot Tahanan Imigresen Semuja.

"Sehingga kini, Depot Tahanan Imigresen Semuja telah menahan seramai 462 Orang Kena Tahan (OKT) yang mana telah dikuarantin dan disaring. Keseluruhannya, 433 orang didapati positif atau 94 peratus," katanya dalam sidang media JPBN yang dilangsungkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Kuching pada Ahad.

Melihat kepada angka tersebut, Uggah turut menjelaskan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di depot tahanan berkenaan menjadi punca kepada kenaikan kes melibatkan lokaliti itu. 

"Kes ini telah membuktikan bahawa virus COVID-19 ini semakin menular apabila tidak ada penjarakan fizikal diamalkan. Inilah yang berlaku di Pusat Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian.

"OKT yang duduk seramai 75 orang satu bilik tidak mengamalkan SOP. Di sinilah virus ini senang merebak," dedahnya dalam sidang media yang sama.

Sementara itu, Uggah turut menambah terdapat dua kematian direkodkan di Hospital Sibu pada Ahad. 

"Kes kematian ke-102 merupakan kes ke-9,963 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 77 tahun yang telah dimasukkan Hospital Sibu kerana mengalami gejala batuk dan masalah kesukaran bernafas.

"Saringan ujian rT-PCR telah dibuat dan kes dikesan positif pada 02 Mac 2021. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2021.

"Manakala, kes kematian ke-103 merupakan kes ke-13,900 melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 63 tahun, juga dimasukkan ke hospital atas sebab yang sama.

"Saringan ujian rt-PCR yang telah dibuat dan dikesan positif pada 19 Mac 2021. Kes juga disahkan meninggal dunia pada hari yang sama," lapor Uggah.

Dalam pada itu, Uggah memberitahu terdapat 32 kluster masih aktif di negeri itu. Empat kluster telah diisytihatkan tamat pada hari ini.  

"Hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan empat kluster tamat iaitu Kluster Rakut, Miri, Kluster Seruas, Beluru, Kluster Kejatau, Sri Aman dan Kluster Jan Yong, Kapit setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari yang lepas," katanya.