432 anggota pasukan tindakan kecemasan dikerah sempena Tahun Baharu Cina - PLUS

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar hadir pada sidang media selepas meninjau Restoran Jejantas Sungai Buloh pada Isnin. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Seramai 432 anggota pasukan tindakan kecemasan dikerahkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di lokasi-lokasi dikenal pasti sebagai hotspot bagi memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku insiden sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pasukan itu akan ditempatkan secara strategik di kawasan berisiko tinggi kemalangan dan kesesakan bagi tempoh enam hari, bermula 15 hingga 20 Februari ini.
“Di lokasi-lokasi hotspot, kita telah menyediakan pasukan tindakan kecemasan yang bersedia sepenuhnya. Tujuannya adalah untuk memastikan respons segera sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian luar jangka, sekali gus mempercepatkan proses penyuraian trafik,” katanya.
Menurut beliau, pasukan tersebut terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta St John Ambulans, yang akan bekerjasama secara bersepadu di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS.
Nik Airina berkata, penempatan pasukan dibuat berdasarkan analisis data kemalangan tahunan, khususnya di kawasan yang kerap mencatatkan insiden serius dan kematian.
“Kawasan hotspot sentiasa berada di bawah pemantauan PLUS. Setiap tahun, kita menilai semula berdasarkan statistik kemalangan dan kematian, dan itu menjadi petunjuk utama kepada tindakan penambahbaikan yang dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau Restoran Jejantas Sungai Buloh pada Isnin.
Mengulas lanjut , Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, menegaskan selain kesiapsiagaan pasukan kecemasan, PLUS turut melaksanakan pelbagai langkah kejuruteraan bagi mengurangkan risiko kemalangan, termasuk penambahbaikan permukaan jalan, papan tanda amaran serta perabot jalan bagi memberi amaran awal kepada pengguna supaya memperlahankan kenderaan.
“Antara inisiatif terbaharu ialah pemasangan kamera AWAS dengan kerjasama pihak JPJ di kawasan hitam. Langkah ini bertujuan memastikan pemandu memperlahankan kenderaan apabila melalui lokasi berisiko,” katanya.
Katanya, sebanyak 30 lokasi dikenal pasti berada dalam senarai pemantauan utama tahun ini, dan PLUS komited untuk terus menambah baik ciri keselamatan di kawasan tersebut dari semasa ke semasa.
“Ini adalah sebahagian daripada KPI kami. Matlamatnya jelas, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan di lokasi-lokasi ini setiap tahun, terutamanya sepanjang musim perayaan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


