Belon meletup: MBPP akan tambah baik SOP, penggunaan gas

Dalam kejadian itu, dua anggota penguat kuasa cedera dengan seorang daripadanya melecur apabila belon dirampas daripada peniaga ketika sambutan Thaipusam meletup sebelum mencetuskan kebakaran. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan meneliti dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjualan belon serta penggunaan gas susulan kejadian letupan belon berisi gas yang mencederakan dua anggota penguatkuasanya, 1 Feb lepas.
Datuk Bandar MBPP Datuk R. Rajendran berkata banyak aspek perlu diperhalusi termasuk jenis gas yang dibenarkan, kaedah pemeriksaan di tapak serta tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang ingkar.
Beliau berkata larangan penjualan belon berisi gas sebenarnya sudah sedia ada, namun penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi memastikan gas digunakan adalah yang dibenarkan.
"Ada sesetengah gas berbahaya dan ada yang tidak... larangan mengenai penjualan belon ini memang sudah sedia ada tetapi pemeriksaan di tapak juga perlu diperketat.
"Dalam operasi tersebut, barangan dirampas dan peniaga dilepaskan tanpa kita mengambil butiran mereka, ini juga antara perkara yang perlu diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBPP dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini hari ini.
Rajendran berkata seorang daripada anggota penguat kuasa MBPP yang melecur masih dirawat di Hospital Pulau Pinang, namun dalam keadaan stabil.
"Anggota berkenaan melecur pada kedua-dua tangan dan sebelah muka. Doktor masih perlu pantau tetapi berkemungkinan dalam satu dua hari ini dia akan dibenarkan pulang," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 7.55 malam di hadapan Pejabat Jabatan Pelesenan MBPP, dua anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan itu cedera dengan seorang daripadanya melecur apabila belon dirampas daripada peniaga ketika sambutan Thaipusam meletup sebelum mencetuskan kebakaran.
Rajendran berkata MBPP telah mengambil tindakan awal dengan memberi amaran kepada penjaja agar tidak berniaga, namun arahan itu tidak dipatuhi.
Beliau berkata anggota penguat kuasa juga telah mengikut SOP sepatutnya ketika dalam proses mengeluarkan gas itu dengan melakukannya tanpa kehadiran orang awam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


