KUCHING:Sejumlah 433 daripada 1,200 sekolah daif di seluruh Sarawak telah dibaik pulih menerusi peruntukan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapa'ee, bakinya 587 buah sekolah sedang diusahakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini susulan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan.

"Bajet yang telah diperuntukkan setakat ini untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak ialah RM1.855. Daripada jumlah itu, RM1 bilion adalah bayaran pendahuluan kontra kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan; RM517 juta adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan serta RM338 juta adalah peruntukan kerajaan negeri," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan kedua daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad yang bertanyakan status terkini usaha membaik pulih sekolah daif di Sarawak dan berapakah jumlah bagi kerja-kerja membaik pulih serta membina baharu sekolah daif itu.

Dr Annuar yang juga ADUN Nangka menjelaskan, tindakan kerajaan negeri yang membuat pembayaran pendahuluan kontra baik pulih sekolah daif membolehkan usaha menambah baik serta membaik pulih sekolah berkenaan dapat dilakukan.

"Pada tahun 2017, Kerajaan Persekutuan bersetuju membantu membaik pulih sekolah daif dan melulukan bajet RM1 bilion masing-masing RM500 juta untuk tahun 2018 dan RM500 (2019).

"Bagi peruntukan tahun 2018 iaitu RM500 juta sejumlah RM417 sudah dibelanjakan. Bagi 2019 hanya RM100 juta sahaja peruntukan yang diberikan walaupun Kerajaan Persekutuan terdahulu sudah meluluskan peruntukan RM500 juta untuk baik pulih sekolah daif di Sarawak

Sementara itu, menjawab soalan asal Safiee yang ingin tahu berapa buah sekolah di DUN Daro yang akan dibaik pulih di bawah peruntukan sekolah daif dan bila ianya akan dilaksanakan Annuar berkata, sejak 2018 sejumlah empat buah sekolah telah dibaik pulih di DUN tersebut dengan kos RM10 juta.

Kata Annuar, sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro; SK Kampung Pangtray; SK Nangar dan SK Kampung Penasu.

"Di bawah fasa kedua pembayaran RM1 bilion kontra, salah sebuah sekolah daif di DUN Daro iaitu SK Tebaang akan terlibat dalam projek baik pulih," katanya.