KUALA LUMPUR : Sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021 dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 (40,241 kematian).

Berdasarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sejumlah 25,216 kematian adalah lelaki sementara 19,091 kematian adalah perempuan.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian (15.4%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian (0.1%).

"Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh COVID-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

"Data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat COVID-19 dicatatkan oleh kumpulan umur 65-69 tahun dan diikuti kumpulan umur 70-74 tahun.

"Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 1,236 kematian manakala W.P. Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya 4 kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, jumlah kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus (111,573 kelahiran), berbanding suku tahun kedua 2020 (116,688 kelahiran) dengan klelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki (55,692 kelahiran).

"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh W.P. Labuan (390 kelahiran: 0.3%).

"Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa COVID-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya.

"Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Republik Korea, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol," ujarnya.

Beliau turut mengulas bahawa pandemik COVID-19 tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia dan jangkaan hayat bagi bayi yang lahir pada tahun 2021 secara puratanya dijangka boleh hidup mencecah umur 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding sedekad lalu, 74.3 tahun (2011).

Beliau juga menyatakan berdasarkan data anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2021 dianggarkan 32.66 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 (32.58 juta).

Justeru itu, jumlah penduduk ini merangkumi 29.96 juta orang (91.8%) warganegara dan 2.69 juta orang (8.2%) bukan warganegara.

"Pada suku tahun kedua 2021, penduduk lelaki (16.77 juta) melebihi penduduk perempuan (15.88 juta). Nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

"Manakala nisbah jantina penduduk warganegara dan bukan warganegara adalah 102 dan 156 lelaki, bagi setiap 100 perempuan," katanya.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai.

Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data rakyat Malaysia adalah masa depan bersama. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.