BESUT : Sebuah keluarga di Kampung La di sini masih tiada tempat tinggal selepas rumah sewa yang didiami mereka sejak empat tahun lalu musnah dalam bencana banjir pada 18 Disember lepas.

Norul Shahida Mohamad, 38, berkata, setakat ini mereka sekeluarga belum mendapat rumah sewa baharu selepas keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Kampung La di sini pada Sabtu.

"Selepas keluar dari PPS kami hilang arah tuju kerana rumah sewa telah rosak teruk dan tidak boleh diduduki. Kini kami hanya menumpang sementara di rumah jiran yang juga rosak akibat banjir.

"Kebetulan ketika ini jiran saya ditahan di hospital kerana perlu menjalani rawatan dan dia memberi kebenaran untuk tinggal buat sementara waktu di rumahnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Norul Shahida tinggal di situ bersama suami, Sairin Tuah, 37, serta tiga anaknya iaitu Ahmad Ikhwan Haziq, 11, Nur Llayana Elisya, 9, dan Ahmad Aakif Haikal, 4.

Norul Shahida yang juga seorang peniaga makanan berkata, dia berasa runsing kerana mereka sekeluarga masih belum menjumpai tempat berteduh walaupun bencana banjir telah reda dan PPS ditutup.

"Saya sebenarnya mengharapkan ihsan untuk mendapatkan tempat tinggal terlebih dahulu sebelum keluar dari PPS, namun kami tak dapat berbuat apa-apa kerana bencana sudah pulih dan semua diminta kembali ke rumah.

"Kami juga terpaksa ikat perut kerana faktor ekonomi dan kewangan yang merudum kerana belum boleh berniaga seperti biasa," katanya yang membayar sewa rumah RM100 sebulan sebelum ini.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, perkara itu dalam pengetahuan pihaknya.

Katanya, terdapat saluran bantuan yang boleh membantu meringankan masalah dialami keluarga tersebut.

"Keluarga berkenaan boleh mendapatkan maklumat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi memohon bantuan untuk menampung bayaran sewa rumah baharu," katanya.

Bencana banjir melanda daerah Besut menyebabkan sembilan rumah penduduk di kampung berkenaan dilaporkan musnah dengan enam daripadanya dihanyutkan arus deras.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian