KUALA KANGSAR: Seramai 50 orang pelajar Pusat Kecemerlangan Universiti Sultan Azlan Shah (UBC) 2022, di sini, menerima biasiswa 'Fast Track', manakala tiga lagi menerima Skim Pembiayaan Tertiari.

Di samping itu, 13 pelajar turut menerima bantuan sekali beri bagi pengajian tahun ini di universiti terbabit.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, ia merupakan tahun kedua pelaksanaan program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 'Fast Track' menerusi UBC.

"Tahun ini UBC menerima seramai 138 orang pelajar yang terdiri daripada 37 wanita dan 101 lelaki.

"Terima kasih kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kerana membantu pihak universiti dalam meyakinkan Maybank Islamic Berhad untuk menaja program 'SPM Fast Track' yang telah kami laksanakan untuk tahun kedua ini.

"Setinggi penghargaan juga kepada pihak Maybank Islamic Berhad kerana memilih USAS sebagai penerima bantuan pengajian buat para pelajar lulusan tahfiz yang mengikuti pengajian 'SPM Fast Track' di UBC sebagai penerima biasiswa,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian program Fast Track Yayasan Pelajaran Mara 2022, di Dewan Serbaguna USAS, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengurusan Syariah, Maybank Islamic Berhad, Munawwaruzaman Mahmud, Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Mohd Razman Yaacob dan Pengarah MARA Negeri Perak, Lailatul Asmah Mohd Tahir.

Dalam pada itu, Nordin berkata semua pelajar tersebut telah mendaftar untuk menduduki SPM 2022 yang dijangka akan berlangsung pada Mac tahun depan.

Tambah beliau, pihaknya menyasarkan pemberian bantuan itu kepada keluarga B40 dan pelajar yang layak, serta melalui temu duga yang dijalankan bersama YPM.

"YPM juga sudi membiaya program pengajian diploma dan ijazah sarjana muda melalui Skim Pendidikan Tertiari dan bantuan Pendidikan One-Off kepada USAS," katanya lagi.

Beliau berkata, USAS berbangga dengan pencapaian pelajar UBC sebelum ini di mana 93 peratus daripadanya lulus dalam SPM tahun 2021.

"Antara kejayaan terbaik yang telah dicapai oleh pelajar UBC dalam SPM 2021 ialah memperoleh 8A, 7A, 6A dan 5A.

"Manakala empat lagi memperoleh keputusan 4A, berdasarkan statistik pencapaian pelajar SPM 2021 di UBC, menunjukan bahawa para pelajar tahfiz UBC bukan sahaja cemerlang dalam mata pelajaran Keilmuan Islam.

"Bahkan turut berkemampuan dan cemerlang dalam subjek umum seperti Bahasa, Sejarah dan Sains," katanya.

Katanya lagi, terdapat dua pelajar UBC 2021 akan berangkat ke Jordan pada minggu hadapan dan akan meneruskan pengajian di Universiti Zarqa Jordan dan Universiti Jerash, dalam bidang Fiqh Wa Usul.

"Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang masing-masing," katanya.

Untuk makluman, Program UBC 'SPM Fast Track’ ialah satu program yang disediakan khas untuk pelajar yang tidak berpeluang mengambil peperiksaan SPM di peringkat sekolah menengah.

Sebagai contoh, pelajar lepasan tahfiz, pelajar ‘homeschooling’, dan sebagainya, berpeluang untuk menduduki peperiksaan SPM dalam masa 10 bulan sahaja di USAS.