Skip to main content

Malaysia

Fatah gesa tindakan antarabangsa yang konkrit untuk tamatkan pendudukan Israel

Orang ramai membawa mayat rakyat Palestin yang dibunuh tentera Israel untuk pengebumian di perkampungan al-Mughayyir, Tebing Barat, 3 Sept 2026. - Gambar fail/AP
Orang ramai membawa mayat rakyat Palestin yang dibunuh tentera Israel untuk pengebumian di perkampungan al-Mughayyir, Tebing Barat, 3 Sept 2026. - Gambar fail/AP

Ringkasan AI

  • Fatah menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit untuk menamatkan pendudukan Israel dan mengiktiraf Palestin sebagai anggota penuh PBB.
  • PLO menyeru sokongan berterusan kepada UNRWA serta mempertahankan agensi itu daripada kempen maklumat palsu dan usaha melemahkan peranannya.
  • Gesaan turut dibuat agar tindakan segera diambil menghentikan konflik di Gaza dan serangan ke atas kem pelarian serta komuniti Palestin.
Advertisement

RAMALLAH: Gerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) pada Sabtu menggesa masyarakat antarabangsa supaya menterjemahkan peningkatan solidariti terhadap rakyat Palestin kepada langkah konkrit bagi menamatkan pendudukan Israel, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penerangan dan Kebudayaannya sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, Fatah berkata kenyataan mengutuk tindakan Israel tidak lagi mencukupi dan menggesa dunia mengiktiraf Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gerakan itu turut menggesa sokongan menyeluruh diberikan kepada rakyat Palestin bagi memperkukuh ketabahan mereka, menghalang pemindahan paksa serta membolehkan mereka melaksanakan kedaulatan ke atas tanah air sendiri.

Advertisement

Fatah juga menggesa kerajaan di seluruh dunia memanfaatkan momentum sokongan antarabangsa yang semakin meningkat untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menarik balik sekatan terhadap Gaza, berundur dari wilayah itu serta menghapuskan sekatan politik dan kewangan yang dikenakan terhadap Pihak Berkuasa Palestin.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) merangkap Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelarian Ahmed Abu Houli menggesa masyarakat antarabangsa supaya meneruskan sokongan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Advertisement

Dalam kenyataan berasingan sempena sambutan itu, Abu Houli menggesa masyarakat antarabangsa mempertahankan agensi berkenaan daripada kempen penyebaran maklumat palsu dan hasutan yang bertujuan melemahkan peranannya serta menghentikan operasinya.

Beliau turut menggesa tindakan segera diambil bagi menghentikan konflik di Gaza, menamatkan serangan ketenteraan Israel ke atas kem pelarian di utara Tebing Barat serta menghentikan serangan terhadap perkampungan Palestin dan komuniti Badwi.

Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin disambut pada setiap 29 November.

Perhimpunan Agung PBB menetapkan tarikh itu pada 1977 bagi mengetengahkan isu Palestin serta hak rakyat Palestin.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement