KUALA LUMPUR: Seramai 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan setakat 3 Disember lalu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Bajet 2021.

Kata beliau, kejayaan itu lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan COVID-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3% pada Mei 2020.

"Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

"Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya 2.0) telah berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 ribu peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

"PenjanaKerjaya dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60% daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera itu menambah,  MySTEP dengan nilai RM700 juta telah berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021 dengan menempatkan seramai 61,328 orang pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

"Daripada jumlah itu, seramai 41,680 orang pekerja telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 orang pekerja pula ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

"Di bawah program tersebut, pemohon telah ditempatkan di pelbagai Kementerian dan Agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad, KWSP dan Khazanah Nasional," ujar beliau.

[TERKINI] Majlis Pekerjaan Negara wujudkan 550,000 pekerjaan

Ismail berkata, sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan pada bulan Januari 2021, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan yang ditetapkan.

Selain daripada PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, Kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2% daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

"Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021.

Memandang ke hadapan Perdana Menteri menjelaskan, seperti mana yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022, Kerajaan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion melalui beberapa program.

"Kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion. Kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20% daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30% bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas. Kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu bagi tahun 2022.

"Penerusan inisiatif MySTEP dengan penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022.

"Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum penciptaan pekerjaan, selaras dengan pemulihan dan pembukaan pelbagai sektor-sektor ekonomi," katanya.

Seterusnya, NEC juga akan berusaha menangani isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta isu berkaitan penggajian.

"Perkembangan ini sekaligus dapat memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40. Inisiatif ini amat penting selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia," ujarnya.