KUCHING: Kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri Sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 Sept.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tetamu kehormat untuk sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Beliau berkata acara rasmi yang akan bermula pada 8.15 malam itu dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Antara pengisian majlis ialah ucapan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Abang Johari dan Anwar, selain acara penandatanganan Buku Khas Hari Malaysia serta bacaan ikrar Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2026 di sini hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Bersama sambutan Hari Malaysia tahun ini turut menyertai mesyuarat itu secara dalam talian.
Sambutan Hari Malaysia itu juga akan menampilkan segmen persembahan oleh gabungan artis jemputan, muzikal teater serta persembahan finale yang melibatkan tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, pameran bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung dari 10 hingga 16 Sept di Plaza Merdeka di sini.
Selain itu, dua majlis kesyukuran akan diadakan iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pada 14 Sept di Hotel Pullman dan Majlis Kesyukuran pada 15 Sept di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini.
-- BERNAMA