PASIR MAS: Seramai 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar melibatkan 47 lelaki dan empat wanita ditahan dalam satu serbuan di Kampung Sapi, Jeram Perdah di sini, pada Jumaat.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, kesemua PATI berkenaan ditahan melalui serbuan Ops Wawasan pada jam 1 tengah hari.

"Sepasukan pegawai bersama anggota Risik Batalion 8 Pasukan Gerakkan Am (PGA) membuat serbuan di kawasan semak dan menahan 51 PATI warga Myanmar yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, memasuki Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

"Kita percaya mereka dibawa masuk oleh tekong darat melalui laluan dan pengkalan haram dari negara jiran.

"Mereka dipercayai sedang menunggu tekong darat untuk dibawa keluar dari kawasan," katanya lagi.

Muhamad Zaki berkata, kesemua warga Myanmar itu dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.